Di Sebalik Ramadhan

Assalamualaikum wbt

24 Ramadhan 1434H
Ini apa yang ku perhati sepanjang Ramadhan.

*                          *                             *

Setiap kali dalam perjalanan ke Masjid Sultan Sulaiman Klang mahupun pulang daripadanya, hampir setiap kali itulah aku akan ternampak seorang lelaki tua ini. Kadang-kadang, jika tak ke masjid pun, andai aku melalui jalan itu, aku tetap akan selalu terserempak dengannya. Pagi, petang mahupun malam. Ada waktu aku lihat dia sedang dalam perjalanan menuju ke masjid, ada waktu aku lihat dia baru pulang daripada masjid.

Dia mungkin hanya seorang warga emas biasa. Seperti orang lain juga, gigih mengerjakan ibadah. Apatah lagi di usianya yang tampak sudah lanjut, ajal akan tiba tidak mengira masa. Namun apa yang buat aku lihatnya dengan pandangan yang berbeza, kerana dia bergerak dengan hanya kerusi rodanya.

Aku andaikan kakinya tidak lagi kuat. Mungkin cedera. Mungkin juga sudah lumpuh. Namun dia tidak langsung mengharap bantuan orang lain untuk dia bergerak ke sana ke sini sedangkan dia boleh sahaja meminta bantuan sesiapa untuk tumpangkan dia. Kerajinan dan kegigihan yang terserlah demi mendekatkan diri denganNya biarpun dirinya kurang upaya, membuatkan aku rasa kagum walaupun tidak aku kenal siapakah dia. Moga Allah redha dan berkati usahanya. Moga dia diberi ganjaran pahala daripadaNya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Insya Allah.

*                         *                           *     

Di situasi yang lain, setiap kali usai menunaikan solat tarawih di masjid yang sama, akan ku perhatikan seorang anak kecil ini. Perempuan. Comel sahaja. Genit-genit badannya. Dia tidak pula ikut bermain dengan kanak-kanak yang lain tatkala orang lain sedang beribadah. Sebaliknya dia duduk diam sahaja berdekatan dengan meja yang diletakkan juadah moreh. Bilamana orang selesai sahaja menggunakan cawan yang disediakan, dialah yang akan basuh dan susun semula cawan-cawan tersebut di atas talam.

Aku tanya adik aku:" Siapa dia?"

Jawabnya:" Dia anak kepada orang yang sediakan moreh ni. Baik kan dia?"

Subhanallah! Aku pasti dia telah dididik dengan baik oleh ibu dan bapanya. Tidak ternampak langsung pun wajah yang memberontak. Terpancar ketaatannya pada wajahnya. Ayu dan comel sahaja. Aku kagum kerana kebanyakan kanak-kanak di usianya ini, mungkin sudah mula melawan dan enggan membantu menguruskan kerja ibunya. Insya Allah, kini dan kelak dia adalah anak yang solehah. Moga Allah redhai dia dn berikan ganjaran pahala. Insya Allah.   

*                         *                           *      

Di sebalik Ramadhan, ada mesej lain yang sedang cuba disampaikan. Kebanyakan waktu, kita terlepas pandang perkara yang baik dan hanya memandang pada perkara yang buruk semata. Kita hanya perlu memberi lebih tumpuan pada perkara yang berlaku di sekeliling kita walau sekecil mana pun ia. Perhatikanlah dengan teliti dan engkau akan jumpa.