Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wbt,
Sudah lama menyimpan hasrat, tetapi aku hentikan kerana takut.
Aku takut untuk menulis tentang ini.
Aku takut ada perasaan yang tidak sepatutnya hadir dalam hati aku.
Aku takut, tapi aku beranikan diri dan berharap supaya penulisan yang ini,
bermanfaat.
Usrah
Mungkin perkataan 'usrah' itu sudah sebati dalam kalangan kita yang bergelar mahasiswa. Mungkin sudah sebati dalam kalangan mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan sekolah agama. Tetapi jangan terkejut, bila ditanya pada orang yang paling dekat dengan kita tentang usrah, dan kita ditanya semula dengan soalan "Apa itu usrah?".
Usrah, perkataan arab yang bermaksud "keluarga". Tetapi dalam konteks penyebaran dakwah, usrah adalah satu medium untuk sama-sama membantu umat Islam khususnya, bagi memperoleh ilmu-ilmu agama dan berbincang mengenai sebarang kemusykilan ataupun percanggahan pendapat. Itu, berdasarkan apa yang aku faham.
Aku mula ikut usrah pada waktu asasi. Pada umur 18 tahun. Ingat lagi pesan Abi, "Nanti dah masuk U, cari-carilah usrah bila ada kelapangan.". Jadi atas pesanan itu, aku mula mengikut usrah. Terasa seperti dipermudahkan bila naqibah aku adalah bekas anak murid Ummi sendiri, jadi aku tak ada banyak masalah untuk biasakan diri.
Of course, banyak yang aku pelajari dan aku peroleh. Perlahan-perlahan aku mula mengikuti program daurah, rehlah dan sebagainya yang juga merupakan sebahagian daripada wasilah tarbiyah. Selain itu ada lagi program-program lain seperti mukhayyam(perkhemahan) dan MABIT (Malam Bina Iman dan Taqwa). Aku cuba hadiri setiap halaqah dan program-program yang dibuat. Jarang sekali aku tak dapat hadirkan diri.
Ujian
Namun semuanya mula berubah apabila aku mula masuk degree. Kumpulan usrah aku mula dirombak dan aku diberi kumpulan baru, bersama naqibah baru. Aku mula jadi tidak biasa. Waktu tu aku tak faham kenapa perlu ada rombakan. Bermaksud aku belum faham apa tujuan usrah tu sebenarnya. Soalan aku juga tidak mendapat jawapan yang dapat memuaskan hati. Semuanya seperti samar-samar. Sehinggakan aku mula mempersoalkan banyak perkara tentang perlaksanaan usrah.
Apabila berlaku sekali lagi rombakan kerana naqibah aku berkahwin dan berpindah, aku kebetulan sudah mula sibuk dengan program-program kolej. Setiap kali dimaklumkan tentang kehadiran usrah pada minggu tersebut aku pasti tidak dapat hadir kerana kekangan program di kolej. Sehinggalah kali ketiga atau keempat berturut-turut aku tidak dapat hadir, aku tiada lagi mendapat mesej daripada naqibah. Itu, lagi buat aku bertanya dan kecewa. Dan mulai itu juga, tanpa sedar aku mula jauh daripada usrah.
Kosong
Hampir setahun juga aku tinggalkan usrah. Lain rasanya apabila tidak mengikuti usrah. Terasa diri sudah banyak lalai dan kurang diingatkan.
Yes. Untuk seseorang yang sudah terbiasa dengan usrah, dia akan merasakan bahawa usrah itu adalah salah satu wadah untuk memperbaharui iman. Dalam hari-hari biasa mungkin hatinya sudah dibahagi-bahagikan kepada pelbagai komitmen lain yang bisa membuatkan diri lalai dan jauh daripada mengingati Allah. Jadi dengan usrah pada setiap minggu itu sekurang-kurangnya dapat mengumpulkan kembali hati dan jiwa yang telah berpecah-belah, dan menyatukannya melalui diskusi-diskusi ilmu, tadabbur Quran dan ukhuwah sesama ahli usrah sendiri.
Sedar akan kelemahan diri dan sedar usaha yang perlu aku lakukan untuk mengejar redha Allah, maka aku kuatkan diri, dan minta seorang rakan rapat untuk carikan usrah. Akhirnya, selepas hampir setahun, aku kembali dengan usrah. Nak menangis rasanya waktu tu. Terharu sebab ada yang sudi membantu, terharu sebab ada yang sudi menerima, terharu sebab Allah permudahkan jalan.
Dan mulai dari hari itu, tarbiyah aku bermula semula. Aku anggap itu sebagai usrah yang pertama kali kerana tempoh aku tinggalkan tu terlalu lama.
Kefahaman
Awal semester ini, aku hadiri program Gathering Ikram Siswa yang menggabungkan semua ahli-ahli usrah di bawah Ikram. Pada program inilah aku memperoleh lebih kefahaman tentang konsep usrah yang sebenarnya. Peserta diterangkan dengan terperinci tentang tujuan usrah, cara perlaksanaannya, mengapa perlu ada rombakan, mengapa perlu ada wasilah tarbiyah yang lain, apa itu muwasafat tarbiyah dan apa itu maratib amal. Kami juga dijelaskan tentang kepentingan usrah dalam kehidupan dan mengapa ianya perlu untuk membentuk umat Islam yang kuat demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Soalan-soalan aku terjawab. Aku yakin ini jalan yang betul dan penjelasan yang telah diberi menguatkan semangat dan keyakinan untuk terus mengikuti usrah.
Aku ingat lagi ada kawan usrah pernah bercerita, mereka ditanya tentang sejauh mana kesanggupan mereka untuk mengikuti usrah. Adakah sekadar mengisi masa lapang? Adakah akan berhenti bila sudah habis belajar? Adakah mampu untuk teruskan usrah apabila sudah berkahwin dan berkeluarga nanti?
Itu... soalan-soalan yang sangat menyentap jiwa.
Pengikat Hati
Usrah adalah pengikat hati-hati yang sedang mencari keredhaan Allah. Yang mahu dengan sungguh untuk masuk ke syurga. Yang rela untuk berkorban sedikit masa dan tenaga dan mungkin juga kasih sayang, demi menjadi individu yang lebih baik, soleh dan solehah, dan mendapat tempat di sisiNya nanti.
Aku orang yang beruntung kerana ditunjukkan padaku jalan yang lurus dan benar. Mahu tidak mahu saja perlu aku putuskan. Aku bersyukur, aku putuskan untuk mengikutinya walaupun ada susah dan payah yang perlu aku tempuh. Itulah cabarannya. Dan aku adalah orang yang rugi andai aku tidak usaha merubah diri ke arah yang lebih baik setelah melalui fasa-fasa tarbiyah.
I'm far from reaching the perfection. Far from being a perfect muslimah. Jauh sekali juga untuk menjadi seperti wanita-wanita di zaman Rasulullah yang peribadinya dan kisah-kisahnya sangat aku kagumi. Orang-orang terdekat tahu apa kelemahan dan kekurangan aku. Tetapi aku tahu aku perlu usaha ke arah itu. Langkah ku ini masih perlahan kerana pernah aku melangkah jauh sehingga aku sesat dan akhirnya berpatah semula. Tetapi tidak mahu aku terlalu lambat kerana takut tertinggal, jadi aku harus pantas. Ajal juga tidak menunggu.
Semoga sampai bila pun, aku akan tetap istiqamah di atas jalan ini. Jika aku mampu dan cukup kuat nanti, mahu aku bimbing sekali insan lain yang masih tercari-cari ke mana mahu pergi.
Coretan ini setakat di sini. Moga ada manfaat buat yang teserempak dan membacanya nanti.
Semoga dipermudahkan dan diizinkan.
Insya Allah.