Salam

Assalamualaikum wbt

Sejak beberapa tahun yang lepas, aku mula rajin-rajin amalkan beri salam kepada orang bilamana aku ada peluang. Aku kenal ke, tak ke, aku beranikan untuk mula memberi salam. Kadang pada makcik yang tengah sediakan paip nak cuci tandas, kadang pada staf yang tengah duduk-duduk santai selepas buat kerja, kadang pada staf yang tengah duduk di meja kaunter bila aku lalu depan pejabat, kadang pada pakcik yang sedang siram pokok bunga, kadang pada pakcik yang tengah bersihkan dedaunan kering di tepi jalan, kadang pada pak cik pengawal keselamatan bilamana aku lalu depan post guard. Kadang pada kawan yang aku tiba-tiba terserempak dekat tepi jalan. Kadang pada pensyarah yang kebetulan sedang menunggu sewaktu aku keluar daripada lif.

Salam ni adalah sebuah doa.

Salam bukan setakat diamalkan untuk diucap kepada kakak senior di asrama bila lalu berselisih dengan mereka. Dan bukan sahaja diamalkan ketika berselisih dengan cikgu ketika di sekolah.

Kalau kita boleh buat waktu zaman sekolah dahulu. Kenapa tidak selepas itu? Kenapa tidak sekarang ketika kita kian menginjak dewasa dan lebih mengerti makna adab dan akhlak?

Perkara yang aku amat amat amat suka pada pemberian salam ialah respon yang aku dapat kemudiannya. Senyuman manis, bersama salam yang dibalas. Aih... sangat boleh menaikkan semangat dan menceriakan hari kau! Sangat!

Untuk yang belum pernah cuba, ayuhlah kita amalkan! Percaya pada setiap kebaikan yang kecil, pasti ada ganjaran yang Tuhan telah janjikan. Paling penting sekali, impaknya pada orang yang dihulurkan salam tersebut. Walau tampak sedikit, mustahil tak tersentuh hatinya. Kadangkala, melalui perkara kecil beginilah ada doa yang diutus secara senyap, juga ada kebaikan yang akan tersebar walaupun berskala kecil.