Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, Malam Perwarisan melabuhkan tirai.
Aku tentunya orang yang rugi andai aku tinggalkan medan ini sebelum melangkah kaki untuk mencuba. Dan aku bersyukur kerana aku dikurniakan nikmat sebegini hebat untuk merasai penat lelah memegang amanah biarpun ini bukan yang pertama kali.
Jujur, selama setahun, terlampau banyak yang diperolehi. Banyak ilmu yang dipelajari, banyak pengalaman yang dilalui. Aku kerdil tanpa semua, dan aku masih kerdil dengan adanya semua. Mungkin kebanyakan masa aku elakkan untuk bersama. Namun bila semua bersua, tidak pernah tertinggal senyum dan tawa.
Ini bukan organisasi biasa. Ini sebuah keluarga. Dengan mereka, aku belajar kerjasama. Aku belajar untuk bertolak ansur. Dengan mereka, aku peroleh kekuatan dan keyakinan untuk teruskan apa yang sedang aku laksanakan. Dan paling penting, dengan mereka, aku belajar untuk meminta bantuan. Bukan pendam dan diam mengharap diri sendiri untuk hadap. Itu tujuan hidup bersama. Saling bantu-membantu tanpa berkira.
Untuk hari ini, ada beban yang telah berkurang, namun tidak gugur dari bahu kerana bakal dihitung di penghujung waktu dunia dengan mizan yang paling tepat dan adil. Untuk hari ini, saat ikrar dilafaz, satu lagi beban ditambah ke bahu untuk menguji keimanan dan kekuatan diri. Andai adil dan amanah, maka beratnya di penghujung nanti akan ke kanan. Namun andai ianya terjadi sebaliknya, aku adalah orang yang gagal dalam menjalankan tanggungjawab ini.
Mohon ampun dan maaf pada segala kurang dan khilaf.
Terima kasih untuk semua.
Semoga dipermudahkan, untuk perjuangan satu tahun lagi.
Biiznillah.