Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, dapat curi masa untuk luangkan masa dengan mereka di sini.
Awalnya, tujuan utama adalah jadi volunteer untuk membantu edaran makanan. Tujuan kedua, aku tidak pasti. Cuma aku kata pada diri, mungkin nanti di penghujung hari baru dapat aku ketahui.
Global March to Jerusalem sudah menjadi program tahunan di hampir semua negara. It's global. Seluruh dunia. Seluruh dunia berhimpun bersama demi menunjukkan soladiriti kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Aku tidak pernah lagi menjejak kaki ke program ini. Ini adalah pertama kali. Dan yang pertama kali ini telah membuat aku kagum dan sedar bahawa di celah-celah kekejaman dunia, masih ada hati dan jiwa yang kuat semangatnya demi membantu saudara-saudara Islam yang tertindas dan menunjukkan bahawa Islam masih kuat dan akan tetap teguh dengan bantuanNya.
GMJ dihadiri ramai rakyat-rakyat Palestin sendiri. Mereka berada di barisan belakang, mengibar bendera Palestin, melaungkan takbir, melafazkan syahadah dengan sekuat hati, sambil diikuti oleh para pengunjung Muslim yang lain. Saat itu, terasa meremang satu badan seolah-olah dapat merasakan yang Allah ada dekat dengan hambaNya, dan Dia pasti sedang menyaksikannya. Satu fenomena yang membuat aku teruja dan kagum. Satu fenomena yang membuat aku sedar bahawa semua yang ada pada malam itu, punyai harapan dan matlamat yang sama, iaitu membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa.
Malam itu, teriak soalan dilontarkan berkali-kali daripada flashmobbers, " Mana lagi pemuda-pemudi Islam yang ada??! ". Seandainya ia difahamkan secara tersurat, seolah mahu menunjukkan kelalaian golongan muda Islam yang tidak peka dengan kesengsaraan saudara seagamanya di Palestin. Tetapi yang tersirat itu boleh menyentap mana-mana jiwa umat Islam yang masih hidup. Di sebaliknya, ia adalah satu soalan untuk membangkitkan semangat anak-anak muda Islam untuk sama-sama berjuang walaupun hanya dengan senjata doa. Pada malam itu, jiwa ini disentap.
Di penghujung hari itu, aku sudah ketahui tujuan keduanya aku ke situ.
Kesedaran.