Abi

Assalamualaikum wbt


Aku jarang sangat cerita apa-apa pada Abi. Jarang. Sebab biasanya Abi dengar dan suruh ringkaskan cerita. Heh. Jadi aku malas bercerita. Even dengan adik-adik pun jarang. Ini mungkin sebab ego seorang kakak. Dengan Ummi la aku paling banyak bercerita. Siapa kawan aku, tinggal di mana, belajar apa, masalah apa, periksa apa, aku pergi mana, kebanyakannya Ummi mesti tahu.

Makin dewasa ni, lagila besar jurangnya dengan Abi.
Beza pendapat. Beza pandangan. Itu biasa.

Tapi....

Suatu hari tu, aku jadi buntu. Masalah yang datang betul-betul buat aku jatuh. Aku tak tahan. Di bilik air aku sorokkan mata yang merah dan wajah yang comot dengan air mata yang mengalir. Tak mahu ada kawan yang melihat. Tak mahu pelbagai andaian yang timbul.

Aku call Ummi kemudiannya, kerana aku ingin luahkan apa yang aku sedang rasa. Suara Ummi bisa buat air mata ini tumpah kerana rasa sayu bila mendengarnya. Malangnya, hari tu, tak dapat aku nak bercerita. Telefonnya habis bateri.

Terus, aku teringat Abi. Tak dapat nak fikir sesiapa pun lagi dah. Awalnya ragu kerana bimbang janggal, tapi akhirnya aku teruskan juga. Ada satu keyakinan dalam diri yang buat aku ingin teruskan.

Bila Abi angkat call, dengar je suara Abi, hati terus luluh. Makin esak aku menangis. Sebak tiba-tiba. Aku hanya mampu panggil "Abi" dan terus diam. Tak dapat aku teruskan kerana suara seakan tersekat menahan sebak. Kerana bimbang Abi sibuk, jadi aku tanya Abi sibuk ke. Tapi Abi kata " Tak apa. tak apa. Teruskan. Ada masalah apa?". Dan aku akhirnya mula bercerita.

Waktu tu, entah mengapa, rasa senang bercerita. Abi dengar satu per satu dan tidak pula disuruh ringkas. Bila selesai, Abi beritahu apa yang patut aku buat, dan beri segala nasihat yang aku perlukan pada waktu tu. Aku lega. Lega sangat!Aku terharu.

Abi tak pernah kata pada aku "Jangan menangis" bila dia dengar esakan dan luahan anaknya ini. Tak pernah. Pernah waktu kecil dahulu, duit tabung aku hilang dicuri pembantu rumah yang lari. Aku menangis sebab duit tu aku kumpul dengan usaha aku sendiri. Pada usia yang kecil sebegitu, itu cukup pedih. Tapi Abi kata "tak apa, nangis tak apa." Mungkin Abi faham jiwa seorang wanita.

Segala nasihat Abi aku semat dalam hati dan aku cuba muhasabah diri. Ada betulnya juga apa yang Abi kata. Abi lebih banyak makan garam. Masalah yang aku hadapi adalah masalah yang sudah biasa Abi hadapi. Malah berkali-kali.

Tiada yang lain mampu ku ucap.
Terima kasih Abi!