Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, aku diberi kesempatan dan peluang untuk menghadiri ceramah di Kolej Pendeta Za'ba,UPM sempena Program Make It Right Campaign III KPZ. Tambah bertuah, bila ada Kak Dayang dan Alya temankan. Hee.
"Di manakah Engkau Wahai Umar?"
Itu... tajuk ceramah yang disampaikan Imam Muda Asyraf semalam. Sebelum aku pergi, dalam ingatan ni cuma terbayangkan kisah Saidina Umar Al-Khattab sahaja. Rupa-rupanya, malam tu, IM Asyraf memberi ceramah tentang kisah dua orang Umar : Umar Al Khattab dan Umar Abdul Aziz. Dua orang Umar yang sangat hebat pada zaman dahulu, dan masih disanjungi sehingga kini kerana peribadi mulia dan bakti yang dicurahkan mereka.
Kisah tentang Saidina Umar ni pastinya ramai yang tahu. Sungguh bukan nama yang asing bagi orang yang menghayati kisahnya. Saidina Umar Al Khattab diberi gelaran Abu Hafs dan Al Faruq. Gelaran Abu Hafs diberi kerana beliau mempunyai seorang anak bernama Hafsah. Saidina Umar dikatakan masuk Islam pada umur 27 tahun. Kisah penghijrahannya antara yang paling aku kagumi. Yelah, siapa yang tidak kenal dengan sifat bengis Saidina Umar, dan sangat mengagumkan bila dengan izin Allah, bacaan ayat Al-Quran dan doa Rasulullah telah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam. Teringat tentang kisah Zinnirah... Umarlah orang yang telah menyiksa Zinnirah sehingga buta matanya.
Nabi Muhammad SAW pernah berdoa kepada Allah agar dikurniakan hidayah kepada dua orang Umar iaitu: Umar bin Hisyam dan Umar Al Khattab. Siapakah Umar bin Hisyam? Inilah nama sebenar Abu Jahal. Namun Allah telah memilih Umar Al Khattab untuk diberikan hidayah dan dibuka pintu hatinya memeluk agama Islam. Sedangkan Saidina Umar Al Khattab adalah antara orang yang paling menentang Rasulullah SAW pada ketika itu.
Sewaktu Umar merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, dan telah keluar untuk mencarinya, beliau dimaklumkan dengan khabar bahawa ahli keluarganya sendiri telah memeluk agama Islam. Maka lantas beliau pergi ke rumah adiknya, Fatimah.
Di rumah Fatimah pada waktu itu, Khabab bin Arat sedang mengajarkan Al-Quran kepada Fatimah dan juga suaminya. Apabila Umar datang dan mengetuk pintu rumah Fatimah, Khabab segera bersembunyi kerana ketakutan. Saat Umar masuk, Umar berada dalam keadaan yang sangat marah dan sanggup memukul adiknya sehingga berdarah. Setelah itu, timbul sedikit rasa sesal kerana memukul adiknya, lalu beliau meminta pada adiknya Al-Quran untuk dibaca bagi melihat kandungan kalam tersebut.
Fatimah memegang erat Al-Qurannya dan enggan memberikan kepada Umar melainkan beliau mandi hadas dan kembali dengan keadaan yang tenang. Umar lakukan apa yang diminta adiknya dan kembali, barulah Fatimah serahkan Al-Quran itu. Umar membelek lembaran-lembaran Al-Quran yang dipegangnya dan sampailah di Surah Taha, Umar mula membacanya. Tanpa rasa ragu, tanpa beliau sedari, saat Umar melafazkan ayat-ayat Al-Quran itu, air mata mengalir di pipinya. Rasa sayu timbul dalam hatinya. Ketika itu, keluarlah Khabab dari tempat persembunyian, dan dengan beraninya, dia berkata kepada Umar:" Aku pernah dengar Muhammad berdoa agar diberi hidayah kepadamu, dan aku yakin, inilah harinya engkau akan masuk Islam!".
Maka, setelah itu, Umar memberitahu agar dibawanya untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.
Umar Al Khattab terkenal dengan sifat bengisnya dan keberaniannya, sehinggakan laluan yang dilaluinya, tidak akan berani dilalui oleh syaitan. Apabila beliau tiba di rumah Al-Arqam bin Abi Al Arqam, iaitu tempat usrah pertama dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW, satu keberanian tiba-tiba hadir, dan Rasulullah menghampirinya lalu memegang tali yang mengikat seluar Umar sambil berkata:" Kau nak apa wahai Umar??!". Lantas Umar pun memberitahu hasratnya untuk memeluk Islam. Sejak pengislaman Umar, Islam tidak lagi dipandang rendah dan tidah hanya dianuti oleh golongan hamba dan rendah.
Bercerita tentang kisah Umar Abd Aziz pula, beliau merupakan cicit kepada Saidina Umar Al Khattab. Beliau begitu adil dalam pemerintahannya dan mulia peribadinya sehingga dianggap sebagai bayangan Khulafa Ar-Rasyidin. Sedangkan kita tahu, Khulafa Ar-Rasyidin hanya terdiri daripada empat sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali.
Tidak banyak yang aku peroleh tentang Umar Abd Aziz kerana waktu yang telah suntuk, jadi penceramah tidak berkesempatan untuk menceritakan lebih lanjut tentang Umar Abd Aziz. Tapi hari ini Allah beri rezeki, aku dapat beli novel Umar Abd Aziz karya Abdul Latip Talib. Insya Allah, cuba mencari masa untuk membacanya.
Apa yang diceritakan ini hanyalah ringkasan daripada ceramah yang telah disampaikan. Banyak lagi kisah tentang Saidina Umar Al-Khattab yang telah diceritakan oleh IM Asyraf pada malam semalam. Hanya ini yang mampu ditulis supaya aku juga turut ingat dan semat dalam hati.
"Dimanakah Engaku Wahai Umar?" sebenarnya ingin mengajak para pendengar yang hadir, terutamanya mahasiswa dan mahasiswi, untuk mengambil iktibar kisah dua orang Umar yang sangat hebat. Pada zaman ini, adalah mustahil untuk kita berjumpa dengan orang yang dapat benar-benar memiliki keperibadian Umar Al-Khattab dan Umar Abd Aziz. Tapi tidak mustahil untuk pemuda-pemudi Islam mencontohi walau sedikit pun sifat yang ada pada mereka. Insya Allah, sifat-sifat ini akan membantu melalui kehidupan seharian dengan baik, dan membantu diri memperjuangkan agama Islam. Amiin.