Assalamualaikum wbt
Aku, kakak kepada 4 orang gadis yang semakin menginjak dewasa. Tugas membesarkan dan mendidik kesemuanya, sudah tentu jatuh pada bahu seorang ibu dan seorang bapa.
Itu umum. Semua tahu.
Sebagai seorang kakak sulung, aku hanya melihat tanggungjawabku sebagai seorang kakak. Yakni, menunjukkan contoh yang baik melalui segala hal, akademiknya, kematangannya, akhlaknya, kepimpinannya, kerohaniannya. Pokoknya, semua.
Dalam keluarga aku, 5 adik beradik ini 'terpisah' dua generasi. Dua yang bongsu lahir dalam suasana kakak-kakaknya sedang melalui alam remaja.
Tentunya, beza cara layanan yang mereka terima. Lebih banyak juga kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka.
Hal biasa.
Saban hari, yang aku tumpukan hanya pada diri sendiri ---- to show good example dan membantu semampuku. Tak pernah terlintas untuk aku benar-benar mengambil berat hal mereka, sehinggalah satu hari, yang ketiga melangkah ke alam kampus.
Aku mulai menjadi tempat luahan rindu pada keluarga. Tempat luahan tekanan untuk belajar. Tempat untuk mendapatkan pandangan tentang bermacam hal.
Aku, menjadi orang yang penting dalam hidup mereka. Bukan sekadar untuk diteladani.
Di saat aku sedang menulis ini, adikku yang berumur 14 tahun sedang membantu ibuku menyediakan hidangan.
Aku perhatikannya.
Dia sudah dewasa.
Sedikit terpaku di saat ini, menyedari hakikat adik-adikku yang bergelar muslimah ini sedang melalui fasa kritikal hidup mereka --- fasa remaja, fasa dewasa, fasa pemberontakan, fasa ingin tahu, fasa keremukan hati, fasa 'belajar melalui pengalaman'.
Saat ini, aku sedar tanggungjawabku bukan hanya untuk menunjukkan contoh yang baik. Bahkan, aku tidak cukup memenuhi kriteria orang yang layak dicontohi. Saat inilah aku mengimbas kembali segala naik turun hidupku, dan aku sedar, yang aku lalui itu bukanlah untuk aku semata, tetapi untuk mereka, sebagai rujukan apabila mereka berhadapan situasi yang seakan sama dengan aku.
Di rumah, ibu dan ayah juga sudah semakin tua. Tiada lagi larat untuk sentiasa memantau dan memastikan kesemua anaknya terjaga dari segala hal, tidak laratlah juga untuk memarahi apabila bersalah. Maka di situlah aku memain peranan, bukanlah mengambil alih tugas mereka sebulatnya, tetapi untuk membantu dan mewakilkan mereka.
Berat bahuku kian terasa semasa menulis ini. Aduhai.
Buat kalian yang menggalas sebuah tanggungjawab sebagai yang Sulung,
kuatkanlah dirimu, cekalkanlah hatimu,
kerana sesungguhnya pada bahumu itu,
ada sebuah amanah yang besar,
yang semakin jelas pabila kau dewasa,
juga sebuah catitan,
sebagai bukti untuk menghadap Tuhanmu nanti,
mungkin ada waktu kau menangis keseorangan kerana berkecil hati dengan kekasaran adik-adikmu,
mungkin ada waktu kau bawa dirimu kerana kecewa nasihatmu diabaikan,
tetapi percayalah bahawa dunia menyaksikannya,
dan paling utama,
Tuhanmu mengetahuinya,
tetaplah kuat demi mereka,
kerana engkaulah juga harapan mereka.
Ya Rabbi, kurniakan aku secebis kekuatan itu, untuk membantu semampuku, dan padaMu aku serahkan mereka, agar sentiasa di bawah pemeliharaanMu.