Assalamualaikum wbt
Sewaktu cuba
mendapatkan penajaan daripada sebuah kedai buku di Bangi,
Pekerja: Maaf, saya tak boleh buat apa-apa. Tapi saya boleh
bagi nombor pemilik kedai ni untuk kamu bincang bersama nanti.
Diserahkannya nombor telefon dan nama pemiliknya yang
bernama Siti.
Asiff: Terima kasih. Bagaimana kami patut gelar beliau? Cik atau Puan?
Pekerja: Panggil sahaja 'sister'. Kami di sini memanggil
sesama kami dengan 'sister' dan 'brother'. Kita semua saudara dalam Islam.
Panggil sahaja 'sister'.
Masya Allah, aku
sangat terharu dan tersentuh dengan kata-kata pekerja tu. Terasa kita disambut
baik dan dialu-alukan sangat apabila diucap begitu. Dia mengiktiraf kita
sebagai saudaranya atas nama agama. Dan inilah sebaiknya akhlak Muslim yang
patut ditonjol pada semua, yang patut diamalkan dan disemai dalam diri setiap
yang bergelar Muslim.
Lantas aku teringat
petikan daripada sebuah hadis mengenai hubungan sesama Muslim,
'… Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang
lainnya, dia tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan
tidak menghinanya… ' (HR Muslim)
Allah swt berfirman,
إنماٱﻟﻣﺅﻣنونإخوة
'Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara'
(surah Al-Hujurat, ayat 10)
Aku fikir ini juga
sebuah teguran dan kesedaran secara tidak langsung buat aku. Pabila kita anggap
sesama kita bersaudara, atas nama agama, dan kerana Allah, kita akan sentiasa
hadir dan bertemu dengan prasangka yang baik, dan segala persengkataan boleh dielak,
seterusnya bersatu demi menyumbang dan membangunkan ummah.
Moga kita semua
diberi hidayah oleh Allah untuk sentiasa membudayakan akhlak yang baik, dan
menjadi qudwah hasanah bagi orang lain untuk kembali kepada Allah dan mendekati
agama ini. Insya Allah.