Assalamualaikum wbt
Reflect
Akhir-akhir ini, makin aku menjauh dengan dunia penulisan aku yang dahulunya sering menjadi peneman tatkala bosan, sedih mahupun gembira. Kalau dulu bila aku tak menulis di sini, aku pasti akan mencoretkan sebahagian rasa hati dalam diari. Tapi kini tidak lagi. Oleh kerana terbiasa melakar aksara kala kesedihan, maka hasil penulisan penuh dengan bait-bait yang sedih apabila dibaca semula. Terlampau banyak gambaran kekecewaan dan kata-kata untuk memujuk diri supaya kuat. Dan aku bukanlah orang yang suka dilihat lemah. Disebabkan itu, aku berhenti.
Kebanyakan coretan aku yang lepas juga telah aku hapuskan kerana tidak mahu terkenang perkara yang lalu.
100 Resipi
Walau bagaimanapun, aku tetap paksa diri untuk menulis di sini, sekurang-kurangnya tentang resipi yang aku cuba supaya tidak terus hilang kemampuan menulis yang Tuhan beri. Sekurang-kurangnya.... bukan tentang perkara yang sedih. Lagipun itu juga cabaran yang aku berikan untuk diri sendiri pada tahun ini, iaitu mencuba 100 resipi baru dalam setahun.
Namun, aku harus akui yang aku tidak mungkin akan dapat laksanakan cabaran tersebut disebabkan kesibukan yang melanda. Walaupun aku sudah di rumah untuk cuti 2 bulan, namun sejujurnya aku tidak teruja untuk meneruskan kerana tumpuan aku sepenuhnya pada keluarga dan kerohanian diri. Ternyata, masih banyak yang perlu diperbaiki.
Bacaan
Aku juga sedar yang aku sudah tidak lagi rajin membaca. Mungkin kerana itu, aku makin tiada ilham untuk menulis sesuatu yang lebih bermakna. Semuanya lebih kepada ekpresi diri. Kalau ada pun, banyak yang dibaca adalah buku-buku novel. Tak apa. Ada banyak sangat buku yang masih beratur dan menunggu untuk disempurnakan bacaannya. Insya Allah, harus gagahkan lagi diri!
Cinta
Ini masih lagi sebahagian daripada tujuan hidup aku, namun tidak lagi pada manusia. Kepahitan yang lalu banyak membuka mata aku akan hakikat sebenar kehidupan. Satu per satu hikmah disingkap, dengan perlahan dan penuh keajaiban. Ternyata cinta itu melelahkan, dan kerananya aku telah banyak melakukan kesilapan.
Tetapi aku tidak mahu negatif. Sebaliknya aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya Tuhan telah beri aku peluang untuk merasa nikmat disayangi. Memang indah sekali. Aku tak tipu. Namun kerana ia tidak dibawa ke jalan yang betul, Tuhan tarik semula untuk menyedarkan aku yang aku telah jauh daripadaNya.
Lama aku ambil masa untuk terima dengan hati terbuka. Tetapi di akhirnya aku sedar bahawa semua di dunia ini bukan milik aku, dan semua nikmat yang aku telah dan sedang rasai adalah pinjaman daripada Tuhan semata. Dia berhak untuk mengambilnya semula bila nikmat yang diberi tidak dimanfaatkan dengan cara yang Dia redhai. Kini, aku sudah lepaskan dengan rela hati.
Aku cuma harap... aku tidak kecundang lagi.