Sebelum Melangkah Tahun Akhir

Assalamualaikum wbt

Hari terakhir sebelum cuti semester bermula esok, dan kedengaran bunyi bagasi ditarik turun tangga, serta habuk yang berterbangan kerana masing-masing memunggah bilik untuk dikemas.

Kecuali aku.

Yang berkemas untuk pindah kolej, dan hanya akan pulang lama ke rumah selepas tamatnya praktikal. Haih.

Hampir 2 minggu berpuasa di sini bersama rakan-rakan, berkejar semua hendak buka bersama, sementara mereka masih ada di sini menghabiskan peperiksaan yang dihadapi. Isnin sampai Ahad, ada saja 'temujanji'.


Zaman belajar inilah nak luangkan masa dengan mereka. Nanti kelak dah tamat belajar, masing-masing sudah berkerjaya, sambung belajar, berumahtangga dan berkeluarga, peluang untuk berkumpul itu makin sedikit. Mungkin juga, tiada langsung peluang. 

Maka waktu dan peluang yang aku ada ini, aku cuba gunakan sebaiknya. 




Terasa masa pantas benar berlalu. Sekejap sahaja, aku sudah akan masuk ke tahun keempat, tahun terakhir pengajian insya Allah. Perbualan kami bila berkumpul sekarang mesti tidak akan lari daripada topik FYP, praktikal, dan... kahwin! Hahaaaaa

Entah bila lagi kita akan berkumpul begini. Akan datang, mungkin aku pun sudah patut mula memperlahankan diri sedikit demi sedikit. Entah. Kita biar waktu berlalu memberikan jawapan. Harapan aku... semoga aku kahwin nanti semua dapat datang! Eheh? Astaghfirullah. Bukan. Harapan aku, semoga di mana jua pun kita berada nanti, persahabatan kita tetap utuh, dan di kejauhan masing-masing nanti, biarlah kita tetap sentiasa saling mendoakan. 


Ladies, Ini Untuk Kita.

Assalamualaikum wbt

Hairan aku dengan, 
The so-called muslimah fashion nowadays.

Hijabista hipster kata mereka.
Segalanya, atas nama cantik.

Pakaian,
Seluar senteng pun cantik.
Baju sendat pun cantik.
Baju pendek pun cantik. 

Tudung,
Lilitan tak kemas pun cantik.
Selendang tak bergosok pun cantik.
Tidak tutup dada, 
Tidak tutup leher,
Tak apa, tetap cantik.

Apabila,
Segalanya, atas nama agama,

Bila ditegur aurat, 
Disuruh biarkan,
Tak apalah tak sempurna,
Sekurang-kurangnya dia ada usaha tutup aurat.

Bila ditegur tabarruj,
Dikata tak apa,
Islam tak melarang umatnya berhias,
Malah Tuhan suka pada yang indah-indah.

Segalanya, ada sahaja hujah yang disediakan untuk membela diri, 
Melepaskan diri daripada rasa bersalah. 

Soalanku padamu wahai Muslimah, 
"Redha siapakah yang engkau cari?"

Maafkan aku, yang juga masih bertatih. Namun isu aurat bukanlah perkara yang harus diremeh-temeh dan bukan perkara yang harus diambil mudah. Perintah tentangnya disebut jelas di dalam Al-Quran tanpa berkias.

Kita tidak boleh menafikan bahawa manusia akan sentiasa 'Judge a book by its cover'. Terimalah, dalam penilaian seseorang, pakaian adalah persepsi pertamanya. Duta agama yang paling obvious dan paling mudah dilihat. Usah dipandang sebelah mata, kerana sesungguhnya, ia penjaga maruah dan pelindung pandangan mata yang liar.

Bukanlah aku minta engkau berjubah mahupun bertudung labuh. Cukuplah sempurnanya apabila ia mengikut syariat. Kemudian, sedikit demi sedikit, kita tambahkanlah labuhannya sebagai lambang kerendahan hati juga ketakwaan kepada Allah swt.

Percayalah, yang luaran itu, mampu untuk mendidik yang dalaman. Perlahan-lahan, tetapi jangan sampai ketinggalan. Aku juga masih berusaha.

Semoga dipermudahkan buat kita semua.